HARTA adalah amanah Allah yang dipinjamkan kepada manusia sebagai wasilah untuk mencapai kehidupan yang diberkati.
Islam mengajar manusia mempunyai pandangan yang betul terhadap harta agar menerusi harta, manusia dapat menikmati bahagia dan bukannya bencana.
Islam memperakui keperluan manusia kepada harta dan kerana itulah harta dipandang mulia di sisi Islam. Malah, Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.
Dalam Islam, harta merupakan wasilah untuk manusia menikmati keselesaan hidup, untuk mencapai takwa. Di sebalik itu, Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya.
Ini sebagaimana yang ditegaskan Allah yang bermaksud: Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar. (al-Munafiqun: 9)
Di samping itu, dengan memiliki harta semata-mata tanpa diurus dan dibangunkan untuk kesejahteraan manusia sejagat adalah bertentangan dengan yang dituntut oleh Islam.
Ini kerana dari satu sudut yang lain, Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia yang menghidupkan kamu di muka bumi ini dan memerintahkan supaya kamu membangun dan membina kehidupan yang harmoni di atasnya. (Hud: 61)
Manfaat
Malah Islam menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat”.
Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna memerintahkan agar harta dan diuruskan dengan baik dan bijaksana kerana jika sebaliknya harta boleh menyebabkan kemusnahan manusia dan kemurkaan Allah.
Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya bagi penduduk Saba' di negeri mereka ada suatu tanda kekuasaan Allah iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri (dikatakan kepada mereka): Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Inilah) negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun. Kemudian mereka menderhaka kepada Allah, lalu kami kirimkan kepada mereka banjir dan kami tukarkan kedua-dua kebun mereka dengan buah-buahan yang pahit dan pohon-pohon yang tidak berbuah. (Saba’: 15-16)
Demikian juga beberapa firman-Nya yang lain seperti dalam surah al Nisaa’ ayat 10 dan surah an-Nisaa’ ayat 161.
Pelaburan adalah salah satu kaedah menghasil dan mengembangkan harta. Dalam ilmu pengurusan harta secara Islam menggariskan, Penghasilan Harta (Wealth Creation) sebagai satu asas permulaan seseorang dalam interaksinya dengan harta.
Tidak dinafikan, harta perlu dicari dan tidak hanya pasrah pada qada dan qadar seperti di dalam firman Allah yang bermaksud: Maka apabila telah ditunaikan sembahyang, bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu menang. (al-Jumuah: 10)
Malah dari sudut yang lain setelah dicari, harta itu perlu pula dikembangkan. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya.
Nabi Muhammad SAW dan khulafah Al Rashidin telah melakukan pelaburan dengan mengembangkan harta-harta zakat seperti unta, lembu dan kambing.
Ini memandangkan binatang-binatang tersebut mempunyai potensi yang baik di dalam pembiakan dan perkembangan.
Islam melarang membekukan harta tanpa dimanfaatkannya. Ia hendaklah dikembangkan agar manfaatnya dapat dirasai oleh ramai orang sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7.
Pengembangan harta boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, antaranya menerusi pelaburan di institusi kewangan.
Sebagaimana sunnah yang ditunjukkan oleh nabi Yusuf a.s menerusi firman Allah yang bermaksud: Berkata Yusuf: Kamu bercucuk tanam tujuh tahun, sebagaimana biasa. Seberapa yang telah kamu potong hendaklah kamu simpan bersama tangkainya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian datang sesudah itu tujuh tahun kemarau (kelapan), sehingga menelan apa yang telah kamu simpan itu, kecuali sedikit yang kamu simpan (untuk menjadi benih). (Yusuf: 47-48)
Memang Islam menyuruh agar harta dikembang atau dilaburkan, namun bagi mendapatkan keredaan Allah SWT aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syarak yang berasaskan kepada al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qias dan ijtihad.
Justeru, pelaburan yang diterima dan sah di sisi Islam adalah pelaburan yang menepati prinsip pelaburan daripada perspektif Islam. Di dalam Islam, dua kontrak syariah yang popular berkaitan dengan pelaburan ialah musyarakah dan mudharabah.
Dalam muamalat Islam rukun sesuatu kontrak memainkan peranan yang penting dan ia tidak boleh diabaikan. Jika sesuatu transaksi yang mengaplikasikan kontrak Syariah tidak cukup rukun-rukunnya, maka transaksi itu tidak sah.
Sebagai panduan, di bawah konsep mudharabah dan musyarakah rukun-rukunnya yang wajib ada dan dipenuhi adalah, wang (modal) pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui, pelabur, pengusaha, bisnes yang halal dan kontrak (ijab dan qabul).
Di samping memenuhi dan cukup rukunnya, ia juga perlu memenuhi syarat-syarat seperti nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama, tiada jaminan modal selamat dan tiada jaminan untung tertentu.
Memang tidak dinafikan, setiap pelabur yang membuat pelaburan mengharapkan keuntungan. Banyak pihak yang terkeliru dalam hal ini khususnya yang berkaitan dengan jaminan keuntungan yang bakal diperolehi oleh pelabur.
Mengelirukan
Lebih mengelirukan apabila pihak yang menawarkan peluang pelaburan tersebut menggunakan nama-nama, istilah atau perkataan Arab yang menampakkan seolah-olah ia adalah pelaburan secara Islam.
Namun apabila diselidiki hanya nama nampak macam pelaburan secara Islam tetapi dari segi mekanisme dan operasinya jauh terpesong daripada kaedah pelaburan secara islam.
Jaminan mendapat keuntungan adalah bercanggah dengan prinsip pelaburan dalam Islam. Ulama Islam sepakat bahawa memberi jaminan untuk mendapat keuntungan daripada pelaburan hukumnya adalah haram kerana ia adalah riba dan bukannya pelaburan.
Islam tidak membenarkan memberi jaminan bahawa pelabur mesti mendapat keuntungan daripada pelaburannya kerana ia bercanggah dengan tabii pelaburan itu sendiri yang tertakluk kepada untung dan rugi.
Ia sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)”. (riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud)
Apa yang dibolehkan dan sebagaimana yang diamalkan oleh industri kewangan Islam adalah sebarang keuntungan, hanya anggaran dan andaian sahaja tanpa membuat sebarang janji bahawa pelabur pasti akan mendapat keuntungan.
Hal ini selari dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah AAOIFI yang telah memutuskan bahawa apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah akad pelaburan mudharabah itu.
Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah antara badan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia hal ehwal pelaburan.
SC dengan dibantu oleh Majlis Pengawasan Syariahnya telah berjaya menyenaraikan sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mematuhi Syariah.
Berdasarkan Majlis Pengawasan Syariah SC, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti yang berikut:
(a) Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah); (b) Perjudian dan pertaruhan; (c) Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan; (d) Insurans konvensional; (e) Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah; (f) Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan; (g) Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan (h) Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.
Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu: pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik dan aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.
Inisiatif SC itu merupakan satu inovasi yang berimpak maksimum kepada umat Islam di Malaysia dimana mereka tidak lagi ragu-ragu dan teragak-agak untuk membuat pelaburan.
Justeru, sebelum melabur kita perlu membuat pertimbangan yang wajar dengan memastikan agar pelaburan yang hendak dibuat tidak melibatkan pelaburan dalam aktiviti perniagaan yang diharamkan oleh syarak.
Tiada jaminan terhadap keuntungan yang tetap, tidak ada unsur gharar (ketidakpastian) atau elemen perjudian, tiada unsur paksaan dalam keputusan membuat pelaburan dan tidak terlibat dalam riba.
Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang menawarkan keuntungan berlipat ganda menerusi pelbagai kaedah kreatif yang menggunakan nama-nama seolah-oleh ia satu pelaburan secara Islam.
Utusan Malaysia
23 Disember 2009
sumber gambar http://t2.gstatic.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment
Post a Comment